Tuesday, November 20, 2012

nikmat yang ditarik

                                          image : credit to Facebook

Sehari selepas menjalani pembedahan mata, seorang sahabat datang melawat bersama kawan beliau. Dalam perbualan bersama mereka, sempat kawan beliau berkata, "Bila nikmat itu dah ditarik, baru kita hargai nikmat itu, kan?"
Tidak fikir yang beliau memerli, aku senyum dan mengangguk tanda setuju dengan kenyataan itu.

Sebenarnya sudah hampir 4 bulan aku merasai nikmat mata kanan aku ni hilang sedikit demi sedikit. Memandangkan ia berlaku sedikit demi sedikit, aku anggap ia bukan sesuatu yang serius walaupun sedikit sebanyak menggangu aktiviti seharian. Namun, sejak 2 bulan lepas, aku tak berani untuk memandu kereta pada waktu malam, untuk memandu pada siang hari aku gagahkan juga walaupun untuk melihat cermin sisi kanan, aku terpaksa menoleh menggunakan mata kiri sepenuhnya.

Apa yang membuatkan aku tergerak hati untuk menjalani pemeriksaan di klinik adalah apabila aku rasa ia semakin mengganggu dan memberi ketidakselesaan pada vision. Separuh mata kanan aku tak nampak langsung sebab gelap terus dan separuh lagi kabur & objek nampak tertarik ke tengah.

Ketika latihan badminton untuk PTP Sport Day, banyak pukulan dari pihak lawan aku tak dapat nak ambil sebab aku tak dapat mengagak di mana spot sebenar bola itu berada untuk aku pukul. Hasilnya, banyak yang aku pukul angin sahaja, sampaikan kawan-kawan menegur.

Mulanya, aku pergi ke klinik PTP pada suatu hari bekerja. Dr.Geeta mengatakan luaran mata aku nampak normal, tapi dia memerlukan bantuan pakar untuk melihat sebenar keadaan mata aku. Beliau mengarahkan aku ke Hospital Pakar Puteri (PSH) untuk berjumpa Dr.Shahimi secepat mungkin lalu membuat surat rujukan ke PSH.

Keesokan harinya, aku menjadi pelawat pertama ke klinik Dr.Shahimi di tingkat 5 PSH. Hasil pemeriksaan, Dr.Shahimi mengarahkan aku membuat pembedahan mata kanan kerana menurutnya ia kes serius. Aku bertanyakan puncanya, Dr.Shamimi menerangkan dengan panjang lebar. Punca utama ialah rabun jauh tinggi di mana bebola mata lebih panjang dari mata normal. Faktor utama lain adalah kemungkinan pernah berlaku hentakan/tusukan/gegaran kuat akibat kemalangan contohnya. Jelas Dr.Shamimi lagi sambil menunjukkan replika mata yang mengandungi lapisan & saraf yang kompleks, terdapat beberapa saraf retina aku yang koyak dan beberapa yang semakin menipis berpotensi untuk koyak. Di dalam mata kita, terdapat sejenis cecair semulajadi. Disebabkan oleh koyakan-koyakan saraf, cecair tersebut masuk ke dalam lapisan yang menutup titik penglihatan aku. Sebab itu aku nampak separuh gelap dan separuh kabur. Pembedahan harus dilakukan untuk menampal koyakan dan mengurangkan potensi koyakan untuk saraf yang menipis. Namun begitu, beliau bukan surgeon yang layak untuk kes ini, lalu memberi aku dua pilihan; ke hospital HSA JB atau KL kerana cuma terdapat 2 orang pakar untuk kes ini. Aku memilih untuk ke HSA JB kerana lokasi dan Dr.Shahimi membuat surat rujukan untuk pemeriksaan lanjut ke HSA JB dan memberi MC selama 7 hari.

Pada hari yang sama, sejurus itu aku ke HSA JB dan menyerahkan surat kepada kaunter Klinik Mata HSA. Kebetulan doktor yang bertugas adalah sepupu aku, Dr.Anjah. Anjah memang terkejut tengok surat aku dan bergegas mencari aku di ruang menunggu lalu bertanya bermacam-macam soalan. Hasil pemeriksaan, Anjah membuat surat rujukan untuk aku membuat pemeriksaan lanjut di Hospital Selayang kerana surgeon yang dimaksudkan di HSA dalam proses untuk resign dari berkhidmat di HSA. Oleh kerana tiada pilihan lain dan pembedahan harus dibuat, aku akur untuk ke Hospital Selayang selang 4 hari berikutnya.

Di Hospital Selayang, aku berurusan dengan Dr.Zabry. Hasil pemeriksaan dan perbincangan bersama, aku bersetuju untuk menjalani pembedahan selang dua hari berikutnya. Pembedahan yang mengambil masa satu jam itu merupakan detik yang paling bersejarah aku kira, sebab dapat melihat sendiri apa yang dilakukan oleh Dr.Zabry & staff nurse walaupun sedikit kabur. Jarum kecil, besar, gunting, benang, tali dan macam-macam ubat dan mesin bantuan silih berganti di minta oleh Dr.Zabry untuk dihulurkan oleh staff nurse. Kami di dalam operation theater itu berbual mengenai bermacam perkara sepanjang pembedahan itu membuatkan masa berlalu dengan pantas. Sakit, memang sakit. Tapi itulah harga yang perlu dibayar untuk mendapat balik nikmat yang ditarik ini, In Sha Allah.

Alhamdulillah, sekarang aku berada di rumah, dalam masa 30 hari MC yang Dr.Zabry berikan. Anjah pun galakkan aku untuk merehatkan mata secukupnya. Masih rasa sakit dan masih kabur penglihatan mata kanan ni. Tapi apa yang dulu aku nampak gelap, sekarang sudah ada peningkatan, aku boleh nampak cuma kabur dan bukan dalam bentuk yang tepat. Objek kelihatan mengecil dan seakan kemek. Tapi itu sudah cukup bagus berbanding sebelum pembedahan di mana cuma gelap yang aku nampak. Alhamdulillah, walaupun ia mengambil masa untuk pulih sepenuhnya dan power rabun jauh mata kanan makin bertambah.

Ada lagi satu peringkat yang perlu aku lalui. Selepas sebulan, aku perlu kembali ke Dr.Zabry untuk pemeriksaan lanjut. Menurutnya, kalau hasil pemeriksaan menunjukkan positif, pembedahan ini dikira berjaya. Namun sekiranya pemeriksaan menunjukkan sebaliknya, aku perlu menjalani pembedahan ini sekali lagi. Aku  berdoa agar cukuplah satu pembedahan saja. Tolong doakan untuk aku juga.

Walaupun sedikit nikmat ditarik, terlalu banyak nikmat Allah yang aku masih ada dan perolehi. Sokongan keluarga dan kawan-kawan sekerja, semuanya nikmat yang tak mampu diganti sampai bila-bila. Terima Kasih Allah atas ujian ini & Terima Kasih kerana menyedarkan aku untuk terus bersyukur atas segalanya limpahan kurniaMu.

Alhamdulillah. Terima Kasih Allah.

2 comments: